PENGENALAN NOBAT
Nobat merupakan salah satu warisan kesenian Melayu yang masih kekal sehingga kini. Di Tanah Melayu, Nobat adalah muzik yang berfungsi di istana sebagai seni persembahan istana Diraja Melayu. Antara negeri-negeri Melayu yang masih mengekalkan muzik Nobat adalah negeri Perak, Kedah dan Terengganu. Muzik Nobat adalah sejenis pancaragam Diraja yang hanya dimainkan di istana dan pemain muziknya pula terdiri daripada orang-orang tertentu sahaja. Kebiasaannya, pemain Nobat akan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Sejak dahulu lagi, Nobat hanya dikenali oleh penduduk sekitar yang tinggal berhampiran dengan kawasan Nobat dimainkan. Manakala masyarakat luar tidak banyak mengetahui mengenai muzik Nobat ini. Nobat mempunyai beberapa keistimewaan yang tersendiri. Antaranya ialah Nobat hanya dimainkan ketika majlis-majllis tertentu di istana seperti adat istiadat pertabalan, menyambut kelahiran baru di istana dan lain-lain lagi. Disamping itu juga, terdapat beberapa pantang larang yang perlu diikuti ketika muzik Nobat hendak dimainkan. ASAL-USUL NOBAT
Perkataan Nobat ini adalah berasal dari Negeri Parsi yang menggunakan perkataan "Naubat" bermakna sembilan jenis. Ianya ialah 'pancaragam' diraja yang telah dipakai dari zaman-berzaman di negeri-negeri Melayu untuk Istiadat Pertabalan Raja-raja. Negeri-negeri Melayu yang mempunyai Nobat ialah Perak, Kedah, Terengganu dan Selangor. Nobat yang digunakan dalam Istiadat Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ialah Nobat Negeri Perak. |
ADAB BERMAIN NOBAT
- Setiap petang Nobat dipalu sehingga sampai waktu Maghrib. Aturannya adalah pada waktu hendak memalunya. Iaitu seperti berikut;
- Pada saf pertama - Penghulu meniup Nafiri.
- Pada saf kedua – Dua orang pemukul Nengkara.
- Pada saf ketiga – Pemukul Gendang Nobat.
- Pada saf keempat – Peniup Serunai dan Bangsi.
- Pada saf kelima - Pemukul Kopak dan Cerucup.
- Lama Nobat dipalu ialah selama 32 tiupan N afirinya. Setelah itu dipalu pula Gendang Perang sebagai penutup.
- Pada malam Jumaat waktu Isyak, Nobat dipalu tanpa ditentukan lagu. Tetapi lagu Subuh tidak boleh dimainkan pada waktu lain kecuali pada waktu Subuh sahaja.
- Lagu 'Ibahim Khalil' dipalu semasa Menjunjung Duli dan lagu 'Iskandar Syah' atau 'Arak-arak' dipalu sewaktu raja berangkat.
- Lagu 'Palu-palu' ketika raja Bersiram Tabal dan dan lagu 'Seri Istana' pula semasa raja memakai pakaian kerajaan.
- Peraturan memalu Nobat semasa raja bersiram iaitu lagu 'Perang' dimainkan waktu peralatan bersiram mula diangkat dan berhenti apabila semua peralatan selesai disusun.
- Ketika raja diangkat ke tempat Persiraman, Nobat dibunyikan dengan lagu 'Arak-arak' kemudian lagu 'Palu-palu' semasa raja sampai. Selesai bersiram, lagu 'Arak-arak' dimaiankan sekali lagi dan kemudian disambung pula dengan 'Seri Istana' apabila baginda tiba di istana.
- Semasa raja berangkat ke Balairung Seri untuk Istiadat Menjunjung Duli, baginda diiringi dengan lagu 'Arak-arak' semasa Istiadat Menjunjung Duli, lagu kerajaan iaitu 'Ibrahim Khalil' dimainkan. Dan lagu 'Arak-arak' dimainkan lagi ketika baginda ingin berangkat pulang ke istana. Tiba di istana paluan Nobat akan dihentikan.
- Adab memalu Nobat yang betul adalah ahli-ahli Nobat dikehendaki memalunya dengan berdiri bersaf-saf. Peraturan ini biasanya hanya diikuti ketika memainkan dua lagu iaitu 'Ibrahim Khalil' dan 'Iskandar Syah' sahaja.
- Semasa memainkan lagu 'Seri Istana' atau memalu sewaktu raja Bersiram Tabal, keadaan memukulnya sambil duduk bersaf-saf. Ketika memainkan lagu lain pula, ia terpulang kepada pemain-pemainnya.
- Adab dan tertib memainkan Nobat ini dikatakan berasal dari Riau-Lingga